free counters

Thursday, 9 September 2010

Kisah Seorang Hamba Allah di Bulan Ramadhan

Kisah Seorang Hamba Allah di Bulan Ramadhan



source








Kisah seorang suami yang pada suatu malam berehat di pembaringan di samping isterinya yang amat dikasihi. Tiba-tiba si suami berkata, “Izinkan aku beribadah pada malam ini, wahai isteriku.”

Si isteri menjawab, “Aku sebenarnya merasa senang sekali berada dekat denganmu suamiku, tetapi aku lebih senang melihatmu melakukan apa yang kamu senangi.”

Dengan itu, si suami lalu bangkit mengambil wudu’, lantas mendirikan solat. Dia menangis sepanjang dia berdiri dalam solatnya itu, hingga basah wajahnya dengan linangan air mata.

Dalam rukuk juga dia menangis. Dalam duduk juga dia menangis. Dalam sujudnya juga dia menangis, sehingga basah hamparan bumi disirami airmatanya.

Demikianlah keadaan si suami ini sepanjang malam hingga tiba waktu subuh, sambil diperhatikan oleh isterinya dengan penuh rasa prihatin.

Si suami di dalam kisah ini, saudara-saudara sekalian, tidak lain dan tidak bukan, adalah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., sementara isterinya pula adalah Sayyidatina ‘Aishah r.a.

Sayyidina Bilal r.a. lalu tiba untuk melaungkan azan subuh. Apabila dilihatnya begitu keadaan Nabi menangis dalam solatnya, Bilal r.a. lalu bertanya, “Kenapa kamu menangis begitu sekali, ya Rasulullah, sedangkan Allah telah mengampunkan segala dosamu yang lalu dan yang akan datang?” Nabi s.a.w. menjawab:

Yang bermaksud: “Maka apakah tidak patut untuk aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?” Hadith riwayat Ibnu Hibban.

Subhanallah! Maha Agung Allah yang telah menjadikan hati sanjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., hati yang paling mulia di kalangan sekalian manusia. Hati yang sentiasa merasa malu untuk tidak mengabdikan diri kepada Tuhannya, biarpun dia dikurniakan kemuliaan yang paling besar yang tidak diberikan kepada mana-mana manusia.

Hati yang ingin bersyukur kepada Tuhannya sepanjang masa, biarpun telah dijamin Tuhan tempatnya di dalam syurga. Hati yang tidak pernah rasa cukup untuk merangkul cinta dan pengampunan Tuhannya, biarpun telah dijanjikan pengampunan oleh Allah s.w.t.

Nah! Saudara-saudara sekelian, cuba seterusnya kita bayangkan. Kalaulah begitu keadaan hati Baginda, pengabdian dan kesyukuran Baginda, sepanjang minggu, sepanjang bulan, dan sepanjang tahun, bagaimana pula agaknya ibadah dan amalan Baginda apabila tiba musim ganjaran satu amalan sunnah, sama seperti ganjaran satu amalan wajib dalam musim yang lain? Ganjaran satu amalan wajib pula adalah seperti ganjaran tujuh puluh amalan wajib dalam musim yang lain.

Bagaimana agaknya keadaan Baginda s.a.w. bila tiba musim yang penuh terisi dengan rahmat dan cinta Allah, dengan maghfirah dan pengampunan Allah? Musim di mana dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka?

Bagaimana agaknya keadaan Baginda s.a.w. bila tiba musim terdapat satu malam yang kelebihannya mengatasi seribu bulan?

Tanyalah kepada hati kita ini. Adakah ketibaan Ramadan kita nantikan dengan penuh kecintaan dan kerinduan di dalam hati? Kerana kita merasakan Ramadan ini hadiah Allah untuk kita, lantaran rahmat dan kasih-Nya kepada kita, sehingga dijanjikan pengampunan di atas segala dosa-dosa kita?

Atau apakah Ramadan ini kita anggap sebagai bebanan yang hanya menyusahkan hidup kita? Yang kita tidak nampak sebarang kebaikan pun disebaliknya? Lalu dengan itu hadiah yang ingin Allah beri ini kita sambut dengan rasa benci di dalam hati dan sikap tidak peduli?




...

No comments:

Post a Comment